Sofbol Wanita Sabah Sasar Podium SUKMA 2026, Terima Suntikan Tajaan RM20,000

Sofbol Wanita Sabah Sasar Podium SUKMA 2026, Terima Suntikan Tajaan RM20,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan Sofbol Wanita Sabah meletakkan sasaran untuk menembusi podium pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menerima suntikan tajaan berjumlah RM20,000 daripada Guardian Sports & Academy bagi memperkukuh persiapan pasukan.

Presiden Livoc Eagle Softball Club, Idham Shukri Ishak yang bertanggungjawab mengurus pasukan itu berkata, sumbangan berkenaan hadir pada waktu yang amat kritikal dan memberi impak besar terhadap persiapan pasukan menjelang kejohanan tersebut.

Idham Shukri Ishak…

Menurutnya, tajaan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menjadi suntikan moral kepada barisan atlet wanita Sabah.

“Kami sangat bersyukur dengan sokongan padu daripada pihak korporat khususnya Guardian Sports & Academy. Tajaan ini ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ dan banyak membantu dalam persiapan kami ke SUKMA Selangor 2026,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan tajaan di sini, hari ini.

Idham berkata, pasukan kini sedang menjalani latihan pusat fasa pertama yang bermula 13 April dan dijadualkan berakhir pada 22 April, melibatkan latihan di Kompleks Sukan Likas sebelum berpindah ke SMK Kinarut yang menyediakan kemudahan padang dan asrama.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan kali ini dibarisi 24 atlet dalam senarai panjang berusia antara 15 hingga 20 tahun, yang dipilih menerusi tiga sesi pemilihan termasuk di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Menariknya, pemilihan tersebut turut membuka peluang kepada bakat anak Sabah yang berada di luar negeri, dengan penyertaan atlet dari beberapa negeri termasuk Sarawak, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Idham mengakui perjalanan pasukan bukanlah mudah selepas berdepan krisis pentadbiran sebelum ini sehingga persatuan dibatalkan pada 2023, namun diberi mandat semula untuk membawa cabaran Sabah ke SUKMA kali ini.

“Saya amat terharu kerana ini tahun kedua kami diberi kepercayaan. Walaupun pernah berdepan cabaran besar sebelum ini, kami yakin Sabah mempunyai bakat yang sangat besar dalam sukan sofbol,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pasukan kini tampil dengan pelan lebih tersusun menerusi pendekatan “road to podium” sebagai sasaran utama di SUKMA 2026.

“Sasaran kami jelas iaitu ‘road to podium’, apa-apa warna pingat sekalipun. Yang penting kita berada di podium. InsyaAllah kita lebih bersedia kali ini dan berpeluang untuk berada dalam kategori A,” katanya.

Sementara itu, wakil Guardian Sports & Academy, Syed Redzal Hisham Syed Abdul Hamid, menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperkasa atlet wanita.

Pasukan Sofbol Wanita Sabah kini giat menjalani latihan intensif di bawah bimbingan ketua jurulatih, dengan harapan mampu memberikan saingan sengit serta mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA Selangor 2026.