PM Dijangka Rasmi Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah

PM Dijangka Rasmi Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah

0
SHARE
Armizan
Armizan ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah, Sabtu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, program berkenaan akan berlangsung selama tiga hari di Pekarangan Kompleks Sukan Likas mulai Jumaat depan.

“Objektifnya yang paling penting adalah untuk kita memberikan penerangan kepada rakyat tentang dasar, polisi, inisiatif dan juga program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya inisiatif-inisiatif baru yang dibawa oleh Kerajaan Madani.

“Yang kedua, yang paling penting juga adalah untuk kita menawarkan perkhidmatan agensi kerajaan khususnya secara langsung, secara bersemuka kepada masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah ini.

“Bagi Peringkat Zon Sabah ini, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku Kementerian Peneraju serta kerajaan negeri Sabah.

“Kita jemput semua masyarakat kita agar memanfaatkan program yang akan dianjurkan ini selama tiga hari untuk datang beramai-ramai pada setiap hari akan bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam,” ujarnya ketika ditemui media semasa meninjau tapak lokasi program berkenaan di Pekarangan Kompleks Sukan Likas, pada Sabtu.

Menurut Armizan, terdapat dua komponen perkhidmatan yang ditawarkan menerusi PMR bagi menggambarkan keberhasilan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan kebajikan rakyat iaitu Perkhidmatan Touchpoint Rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

“Melalui pendekatan ini pelbagai perkhidmatan secara terus dan inisiatif-inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh kementerian, jabatan, agensi persekutuan dan negeri.

“Selain daripada agensi-agensi kerajaan, kita juga membawa bersama industri, sektor swasta yang terlibat dalam menggerakkan agenda kerajaan.

“Ada juga kita libatkan institusi-institusi swasta untuk membuat pameran-pameran dan juga menawarkan perkhidmatan mereka dan begitu juga pastinya akan ada ruangan untuk para usahawan kita untuk membuat jualan sama ada makanan ataupun produk produk mereka,” tambahnya.

Program berkenaan merupakan susulan daripada program Setahun Kerajaan Madani yang telah pun berlangsung pada 8 hingga 10 Disember tahun lepas di perkarangan kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — JABATAN PENERANGAN SABAH