LPKP Kaji Perluas Laluan Bas Pink ke Penampang, Putatan dan Tambah Baik...

LPKP Kaji Perluas Laluan Bas Pink ke Penampang, Putatan dan Tambah Baik Kemudahan ‘Bustop’

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan mengkaji kemungkinan memperluaskan perkhidmatan BAS.MY Bas Pink ke Penampang dan Putatan, selain mempercepatkan penambahbaikan kemudahan perhentian bas di sekitar Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, peluasan rangkaian itu akan dipertimbangkan berdasarkan permintaan sebenar pengguna, seiring usaha mengoptimumkan lapan laluan sedia ada yang kini telah beroperasi sepenuhnya hampir sebulan.

“Kami akan mengkaji secara serius kemungkinan memperluaskan perkhidmatan ke Penampang, Putatan dan kawasan lain yang mempunyai permintaan sebenar.

“Matlamat saya seterusnya sangat jelas, tambah baik perkhidmatan, tingkatkan jumlah penumpang dan luaskan rangkaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

Menurut Phoong, jumlah penggunaan Bas Pink kini sudah melebihi 240,000 perjalanan penumpang dengan perkhidmatan berkenaan mendapat sambutan khususnya dalam kalangan warga emas dan pelajar.

Bagaimanapun, katanya, operasi sebenar perkhidmatan itu turut mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutama berkaitan kemudahan perhentian serta lokasi mengambil dan menurunkan penumpang.

Beliau berkata, terdapat lokasi berpermintaan tinggi yang masih belum mempunyai perhentian bas sesuai, malah ada kawasan yang tidak mempunyai petak khas untuk bas berhenti dengan selamat.

“Walau sebaik mana pun laluan dan perkhidmatan bas, tanpa tempat yang selamat, sah dan mudah untuk penumpang naik dan turun, sistem pengangkutan awam tidak akan dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Sehubungan itu, Phoong mengetuai pegawai LPKP bersama pasukan pengendali BAS.MY Bas Pink mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal berkaitan perhentian bas, lokasi mengambil dan menurunkan penumpang serta kemudahan jalan raya yang diperlukan bagi menyokong operasi Bas Pink.

Phoong berkata, Joachim memberikan respons positif dan mengarahkan JKR bekerjasama rapat dengan LPKP bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan di lokasi berpermintaan tinggi termasuk petak khas bas, kotak kuning dan bus pole.

Menurutnya, daripada menunggu semua perhentian bas dinaik taraf sepenuhnya secara serentak, langkah awal boleh dilaksanakan dengan menyediakan kemudahan asas yang selamat di lokasi berpermintaan tinggi.

LPKP turut mahu mempercepatkan penambahan dan penambahbaikan perhentian serta mengusahakan perkhidmatan ke lokasi seperti Klinik Luyang, Hospital Likas dan Pantai Tanjung Aru.

“Perkara ini mungkin kelihatan kecil, tetapi jika kita mahu rakyat benar-benar merasakan bahawa menaiki bas itu mudah dan selesa, setiap perkara kecil memainkan peranan penting,” katanya.

Phoong turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Penyelarasan Pengangkutan Awam Kota Kinabalu diaktifkan semula dengan penglibatan agensi Persekutuan dan Negeri, JKR, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta agensi berkaitan.

Katanya, pembangunan sistem pengangkutan awam memerlukan penyelarasan pelbagai pihak khususnya dalam menentukan lokasi perhentian, keselamatan kawasan bas berhenti, perubahan laluan serta kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

“Daripada mencari agensi berlainan setiap kali timbul masalah, kita memerlukan satu mekanisme penyelarasan yang tetap dan cekap,” katanya.

Phoong berkata, perkhidmatan bas awam perlu menjadi asas kepada sistem pengangkutan awam Kota Kinabalu sekiranya bandar raya itu mahu berkembang sebagai sebuah bandar moden dan berdaya huni.

“Apabila rakyat merasakan bas itu mudah, boleh dipercayai dan selamat barulah pengangkutan awam benar-benar menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka,” katanya.