SEMPORNA: Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha menangani masalah infrastruktur yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, termasuk berkaitan jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lebih RM1 bilion kini dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh Sabah.
“Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.
“Kita ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, masalah bekalan air bukan isu baharu atau hanya berlaku di bawah kerajaan semasa, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan tindakan berterusan.
“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.
“Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa dia yang buat waktu dia berkuasa, tidak ada apa-apa. Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Jalan Bubul, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, pelancaran 106 unit kedai dua tingkat yang dibangunkan LPPB itu dijangka merancakkan kegiatan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan.
Katanya, projek berkenaan penting dalam menyokong pertumbuhan Semporna sebagai destinasi pelancongan yang menerima kemasukan ramai pelawat.
“Saya merasmikan pelancaran projek LPPB, unit kedai yang telah siap 106 unit dan juga pelancaran fasa kedua dan ketiga, juga unit kedai. Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna ini.
“Semporna adalah daerah pelancongan di mana pelancong banyak datang ke sini dan saya yakin dengan terbinanya kedai-kedai ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membeli-belah ataupun datang untuk makan, minum dan sebagainya,” katanya.
Menurut Hajiji, perkembangan itu turut membuka ruang kepada penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pemaju, projek komersial berkenaan turut melibatkan pembinaan jeti yang akan dilaksanakan sendiri oleh pihak berkenaan.
Katanya, usaha itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggalakkan penyertaan rakyat, pemaju dan sektor swasta dalam pembangunan negeri.
“Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta. Kita mempunyai dasar yang terbuka, ‘friendly investor’. Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan.
“Kita gubal satu dasar yang memudahkan para pemaju dan juga pelabur daripada luar datang ke sini kerana kalau ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya,” katanya.






