Tingkatkan Kualiti Akhlak, Contohi Rasulullah SAW

Tingkatkan Kualiti Akhlak, Contohi Rasulullah SAW

0
SHARE
Arifin
Syaperia menerima sijil penghargaan daripada Arifin ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SANDAKAN, SABAH – Umat Islam digesa agar terus meningkatkan mutu serta kualiti akhlak dengan mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata tema Sambutan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini iaitu “Perpaduan Teras Malaysia Madani” adalah berkait rapat dengan elemen menyempurnakan akhlak.

“Pada pagi ini kita menzahirkan manifestasi cinta kita terhadap kelahiran sosok mulia yang digelar sebagai Habibullah yakni Insan yang dicintai oleh Allah SWT iaitu Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

“Baginda telah dilahirkan dalam keadaan penuh mukjizat dan karamah, kelahiran Baginda telah mengubah kegelapan dunia yang dipenuhi kezaliman kepada cahaya yang menuju ke arah kebenaran.

“Salah satu elemen penting dalam pembentukan perpaduan dalam masyarakat ialah membentuk, mencorak atau melahirkan terlebih dahulu masyarakat yang mempunyai akhlak yang baik.

“Bagi menyahut tema dan seruan daripada Kerajaan Malaysia, saya menyeru kepada hadirin agar mencontohi Baginda SAW dalam semua aspek kerana di setiap akhlak atau perbuatan Nabi SAW itu akan pasti hadir kejayaan dan mendatangkan redha Allah SWT.

“Jadilah ejen atau duta yang mempamerkan Akhlakul Karimah yakni akhlak yang baik dan terpuji kepada umat Islam dan masyarakat bukan islam di luar sana,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW 1445H Peringkat Daerah Sandakan.

Mengulas lanjut, ujar Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam, konsep Malaysia Madani mencakupi aspek perpaduan dan keharmonian yang merentasi suku kaum, budaya dan agama.

“Sambutan keagamaan di Sabah sangat luar biasa kerana turut dihadiri rakan-rakan dari agama lain.

“Ini antara konsep yang perlu kita teruskan, ia melambangkan keharmonian kerana agama mengajar kita hidup berkasih sayang, hormat-menghormati dan hidup harmoni tanpa mengira batas keturunan, suku kaum dan agama.

“Ini patut dilestarikan kerana diajarkan oleh junjungan besar yang mana tanggal keputeraan kita sambut minggu dan bulan memperingati Baginda SAW, Baginda ketika membangun Madinah tetap menjaga hak saudara bukan seagama,” dedah beliau.

Mengenai harapan menjadi tuan rumah penganjuran tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, jelas Arifin, ia selaras dengan saranan kerajaan negeri yang mengalu-alukan kerajaan pusat untuk menjadikan Sabah sebagai vanue atau tuan rumah berdasarkan kejayaan Sabah menganjurkan beberapa acara termasuk Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-122, Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM SABAH 2023) dan Konvensyen dan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023.

Pada sambutan tersebut, Arifin menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW 1445H dan Anugerah Siti Khadijah masing-masing kepada Awang @ Ag Satariah Abdullah dan Syaperia Abdul Rahim.

Turut disampaikan, Anugerah Srikandi kepada Anna Bell @ Suziena Perian; Anugerah Saudara Kita, Fringco Niros John Wayne @ Firdaus Abdullah (Kategori Lelaki) dan Elsie Amigo @ Nur Farhana Abdullah (Kategori Wanita); Anugerah Usahawan Contoh Muhammad Zahrin Ahmad (Lelaki) dan Dayang Norah Awang (Wanita) serta Anugerah Taman Ar-Raudhah kepada Taman Perkuburan Bintang Baru, Rancangan Sg Manila Batu 12 Sandakan.

Selain itu, hadiah juga disampaikan oleh Arifin kepada para pemenang pertandingan sepanduk, kontinjen paling ramai dan kontinjen terbaik yang disusuli dengan pemenang pertandingan marhaban dan kompang.

Perhimpunan tersebut juga diserikan dengan ceramah yang mencuit hati oleh Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad di samping persembahan gabungan kumpulan kompang.

Hadir sama, Pembantu Menteri II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, ADUN Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat, ADUN Dilantik Jaffari Waliam yang juga Pengerusi Innoprise Capital Sdn, Bhd., Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wilson @ Terence Thomas dan Presiden II MPS Farizal Setoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana sambutan tersebut. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ