JKKK Disarankan Jalan Tugas Dengan Dedikasi Dan Amanah – Jahid

JKKK Disarankan Jalan Tugas Dengan Dedikasi Dan Amanah – Jahid

0
SHARE
Jahid
Jahid (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang Pengerusi JKKK dari Mukim Pantai, sambil disaksikan pemimpin lain ( Sumber Foto: Ihsan KPLB Sabah )

TAMPARULI, SABAH – Para pemimpin yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) disaran menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi dan amanah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, selain itu, hubungan rapat JKKK dengan para penduduk kampung di kawasan masing-masing juga perlu bagi memastikan apa sahaja perkara yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Sering kita ingatkan bahawa JKKK merupakan tulang belakang dan tunjang utama di peringkat kampung, yang menjadi mata dan telinga kerajaan.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, di Bilik Mesyuarat Bukit Perahu, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, pada Jumaat.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tungginging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Sulit Kepada Menteri, William Ugau, Setiausa Perhubungan, Romeo Sindeh, dan Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Kecil Tamparuli, Jefferson Jonathan.

Katanya, JPKK berperanan mendengar permasalahan penduduk di bawah seliaan mereka dan seterusnya melaporkannya kepada pihak yang berkaitan bagi mencari langkah menyelesaikan perkara.

“Selamat menjalankan tugas kepada semua yang dilantik, semoga anda semua mampu menjalankan tugasan dengan baik, dan menjadi contoh kepada mana-mana JKKK yang lain,” katanya.

Pada majlis singkat tersebut, seramai sembilan orang Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan bagi kawasan Mukim Pantai, iaitu Kampung Bukit Giling, Kampung Bakut Muhibah, Kampung Tambulugu, Kampung Lakang, Kampung Tambulaong, Kampung Dansangai, Kampung Kauluan Ulu dan Kampung Nohirot.