KUALA LUMPUR: Yolanda Dance Studio mencipta penampilan sulung yang membanggakan apabila merangkul 20 anugerah pada International Arts Festival 2026, sekali gus menerima jemputan untuk menyerlah di pentas Grand Final Singapore 2026.
Festival yang berlangsung dari 18 hingga 20 September lalu di Kuala Lumpur itu menyaksikan penari muda studio itu membawa pulang enam anugerah platinum, tujuh emas, dua perak dan lima gangsa menerusi persembahan dalam kategori masing-masing.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Chia Yee Qi yang meraih dua anugerah platinum, termasuk menerusi persembahan duet bersama Chloe Chang Wan Ni. Gandingan itu turut menerima jemputan ke Grand Final Singapore 2026.
Persembahan “Waltz of the Flowers” serta penampilan Jasmine AI Adawiyyah juga masing-masing meraih anugerah platinum dan jemputan ke acara kemuncak berkenaan di Singapura.
Sementara itu, Ivana Iman membuktikan kebolehannya menguasai dua gaya tarian berbeza apabila membawa pulang satu anugerah platinum dan satu emas.
Beliau mempersembahkan variasi balet klasik “Crystal Fountain Fairy Variation” serta “Secret Garden Adagio”, sebuah karya neoklasik dengan koreografi oleh Pengetua Yolanda Chong.
Kejayaan itu turut mengangkat sumbangan tenaga pengajar apabila Yolanda Chong dan Cikgu Ping masing-masing menerima Anugerah Guru Cemerlang atas dedikasi mereka membimbing serta mengembangkan bakat penari muda.
Meskipun pertama kali menyertai pertandingan tersebut, para penari tampil dengan keyakinan, disiplin dan semangat tinggi, mencerminkan kesungguhan mereka menjalani latihan serta persediaan.
Selain membawa pulang anugerah, pengalaman itu memberikan pendedahan pentas yang berharga kepada para peserta. Jemputan ke Grand Final Singapore 2026 pula membuka peluang untuk mereka meneruskan langkah dan menyerlah sekali lagi di pentas antarabangsa.






