Belanjawan 2027: Peruntukan Lebih Besar Tangani Krisis Air dan Jalan Raya- Masidi

Belanjawan 2027: Peruntukan Lebih Besar Tangani Krisis Air dan Jalan Raya- Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bakal menyediakan peruntukan lebih besar bagi menangani masalah bekalan air dan jalan raya di negeri ini menerusi Belanjawan Sabah 2027 yang dijadual dibentangkan pada 4 Disember depan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sektor bekalan air dan jalan raya kekal antara keutamaan kerajaan dengan peruntukan yang besar disediakan setiap tahun bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur berkenaan.

“Peruntukan besar memang antaranya untuk bekalan air dan jalan raya. Ia melibatkan antara peruntukan terbesar setiap tahun.

“Kita kena faham bahawa masalah ini bukan boleh diselesaikan sekelip mata. Kadang-kadang projek yang dimulakan tahun ini mungkin mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

“Saya faham cabaran yang sedang dilalui pengguna air dan berharap mereka bersabar kerana kita menyediakan antara peruntukan terbesar bagi tujuan menaik taraf bekalan air di Sabah,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Masidi berkata, selain jumlah peruntukan, aspek pelaksanaan projek perlu diberikan perhatian bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Yang penting pada akhirnya ialah pelaksanaan. Kita berharap mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan projek dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kita mahu memanfaatkan setiap ringgit yang dibelanjakan secara maksimum. Itu yang penting,” katanya.

Mengulas penyediaan Belanjawan Sabah 2027, beliau berkata, kerajaan masih menjalankan proses rundingan dengan pelbagai pihak bagi menentukan keutamaan perbelanjaan berdasarkan kemampuan hasil negeri.

Katanya, pengurusan kewangan dan tadbir urus yang baik perlu terus dikekalkan dalam memastikan belanjawan disediakan secara berhemah.

Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata, tambahan RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka membolehkan Sabah menyediakan belanjawan yang menghampiri tahap maksimum hasil negeri, yang berpotensi mencecah hampir RM8 bilion.

“Ini bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah Sabah, kita mungkin mempunyai bajet yang hampir menghampiri pendapatan maksimum negeri.

“Pendapatan maksimum kita mungkin hampir RM8 bilion, kalau masuk RM900 juta itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tambahan RM900 juta berkenaan masih belum diterima kerana Kerajaan Persekutuan sedang melengkapkan proses perakaunan dan pentadbiran yang diperlukan.

“Kita pun masih menunggu daripada Kuala Lumpur. Mereka mengatakan sedang dalam proses memenuhi semua prasyarat perakaunan dan pengurusan pentadbiran.

“Kita sudah berjanji berkali-kali bahawa ini akan dibayar pada tahun ini,” katanya.

Masidi turut menegaskan hasrat kerajaan untuk memanfaatkan keseluruhan tambahan peruntukan RM900 juta berkenaan bagi tujuan pembangunan negeri.