PUTATAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun melecur pada bahagian muka selepas berlaku kebakaran melibatkan kepala gas dapur (gas regulator) tong gas LPG di sebuah premis makanan di Kopi Ping, K-Avenue, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.58 tengah hari itu, kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh pekerja dapur menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pengganti Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NGF999 pada jam 12.58 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama lima anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.07 petang dan mendapati kebakaran hanya melibatkan kepala gas dapur (gas regulator) tong gas LPG. Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pekerja premis sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang mangsa lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka dan telah dihantar ke hospital oleh pekerja kedai menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan kebakaran telah berjaya dipadamkan, tiada operasi pemadaman dijalankan oleh pasukan bomba.
Menurutnya, anggota bomba hanya menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang dan pasukan bomba kembali ke balai,” katanya.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBK II Francisco Norati dengan kekuatan lima anggota menggunakan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).






