KK Dominasi Semua Kategori Kejohanan Boling Tenpin, Ghazali Mahu Bakat Sabah Tembusi...

KK Dominasi Semua Kategori Kejohanan Boling Tenpin, Ghazali Mahu Bakat Sabah Tembusi Pentas Antarabangsa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kontinjen Kota Kinabalu mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul juara keseluruhan bagi semua kategori yang dipertandingkan pada Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) Tahun 2026.

Kejayaan itu diumumkan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kejohanan berkenaan yang berlangsung di KK Galaxy Bowl, Centre Point, Kota Kinabalu, pada Khamis.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.

Dalam ucapannya, Ghazali berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan untuk menentukan pemenang, sebaliknya merupakan pelaburan bernilai dalam pembangunan modal insan Sabah.

Menurutnya, sukan memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, memupuk perpaduan, menyemai disiplin serta melahirkan generasi muda yang berdaya tahan.

“Di gelanggang sukan, anak-anak kita belajar menghormati peraturan, menghargai usaha, menerima kekalahan dengan hati terbuka dan meraikan kemenangan dengan penuh rendah diri,” katanya.

Ghazali berkata, atlet muda yang diraikan pada kejohanan itu bukan sahaja berpotensi menjadi juara dalam bidang sukan, malah mampu muncul sebagai pemimpin, golongan profesional dan individu yang menyumbang kepada kemajuan Sabah serta negara.

Beliau berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu bermula dengan pembangunan modal insan berkualiti, termasuk menerusi penyertaan aktif murid dalam kegiatan kokurikulum dan sukan.

Katanya, usaha memperluas penyertaan murid dalam bidang berkenaan akan terus diberikan perhatian menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pihak sekolah serta pelbagai agensi berkaitan.

Ghazali berharap kejohanan seperti itu terus diperkasakan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu, memperluas peluang penyertaan murid dan meningkatkan kecemerlangan sukan di Sabah.

“Lebih penting lagi, kita mahu melihat anak-anak Sabah terus melakar kejayaan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kebangsaan dan seterusnya mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya meraih kemenangan serta menasihati peserta yang belum berjaya supaya tidak berputus asa.

Menurutnya Kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, tetapi melalui disiplin, kesungguhan, integriti dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos 2026 itu menghimpunkan atlet sekolah daripada 12 daerah, iaitu Keningau, Kota Belud, Sandakan, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Tambunan, Kinabatangan, Papar, Beaufort, Pitas dan Kota Marudu.

Pertandingan melibatkan kategori bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun bagi peserta lelaki dan perempuan.

Ghazali turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, SK Pekan Telipok selaku sekolah pengelola Majlis Sukan Sekolah Sabah serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang berjaya menganjurkan kejohanan itu dengan baik, teratur dan profesional.