TAWAU: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita kerana disyaki mencuri barang kemas milik seorang lelaki di Jalan OKK Abu Bakar, Tawau, 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kesemua tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, suspek pertama ditahan pada jam 6.00 pagi tadi di di tepi Jalan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan hasil soal siasat ke atas seorang lelaki berusia 42 tahun itu membawa kepada tangkapan suspek kedua seorang wanita berusia 30 tahun pada jam 1.30 petang di Hospital Tawau.
“Sementara itu, Polis turut menahan suspek ketiga iaitu seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Pukat, Jalan Tanjung Batu Laut kira-kira jam 3.00 petang dan susulan daripada tangkapan tersebut, seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun ditahan di sekitar Hospital Tawau pada jam 6.00 petang,” katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, pihak Polis sebelum ini menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun memberitahu barang kemas yang diletakkan di dalam keretanya telah hilang dicuri oleh individu yang tidak dikenali.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut oleh mangsa mendapati seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan sebiji buah rantai emas telah tiada dan anggaran kerugian lebih kurang RM45,000.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.