TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk membunuh abang kandungnya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Rancangan Kalabakan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan di luar sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan hari yang sama kira-kira jam 9.45 malam, susulan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu.
Katanya, berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa berada di kediamannya bersama isteri serta kedua-dua ibu bapanya sebelum adiknya didakwa mengamuk secara tiba-tiba.
“Suspek didakwa bertindak mengacukan sebilah parang, mengajak pengadu bergaduh serta mengugut untuk membunuhnya. Bagaimanapun, mangsa menyatakan dia tidak mengetahui punca suspek bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, hasil tindakan polis, suspek berjaya ditahan dan sebilah parang bersarung turut dirampas bagi membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Tegas ACP Rosdi, polis menegaskan bahawa sebarang bentuk ugutan atau tindakan menggunakan senjata untuk menakut-nakutkan orang lain tidak boleh dipandang ringan.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan perselisihan faham secara aman dan mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman keselamatan.






