KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada Isnin, 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Memetik laporan TVS, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Menurutnya, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas pertemuan di Astana Negeri Sarawak.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN bagi membolehkan persiapan sewajarnya dilaksanakan.
“Tarikh penamaan calon dan hari pengundian akan ditentukan serta diumumkan oleh SPR,” katanya.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sepanjang tempoh berkenaan dengan memastikan pentadbiran awam dan perkhidmatan penting terus beroperasi seperti biasa.
Mengikut Perlembagaan Sarawak, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Pada PRN Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
Bagaimanapun, susulan pembubaran PSB dan penyertaan tiga bekas ADUN parti itu ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), kedudukan GPS meningkat kepada 79 kerusi.
Sementara itu, DAP kekal dengan dua kerusi, iaitu Padungan dan Pending, manakala Batu Lintang diwakili ADUN Bebas, See Chee How.
Penggal lima tahun DUN Sarawak ketika ini sepatutnya berakhir pada Februari 2027 selepas persidangan pertamanya berlangsung pada 14 Februari 2022.






