KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 bukan keseluruhannya dana yang disalurkan secara langsung kepada Kerajaan Negeri atau peruntukan khusus bagi pelaksanaan projek pembangunan baharu.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Johari Suhaimin berkata, jumlah berkenaan turut merangkumi perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan, termasuk pembayaran gaji penjawat awam serta kos operasi kementerian dan jabatan di negeri ini.
Katanya, perkara itu sebelum ini turut dijelaskan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bahawa peruntukan berkenaan meliputi perbelanjaan pengurusan perkhidmatan awam Persekutuan, khususnya sektor pendidikan dan kesihatan, selain projek pembangunan.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap peruntukan dapat diterjemahkan kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan penyelesaian masalah asas yang masih membelenggu rakyat Sabah.
“Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan asas di kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian serius, walaupun peruntukan pembangunan disediakan setiap tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Johari berkata, faktor geografi, keluasan wilayah dan kos pembinaan infrastruktur yang tinggi memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cabaran berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan terhadap kelewatan pelaksanaan projek atau kelemahan penyampaian perkhidmatan.
Sehubungan itu, katanya, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu diperkukuh, termasuk dari segi penetapan sasaran projek, pemantauan kemajuan serta ketelusan penggunaan peruntukan.
“Rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas mengenai tujuan sesuatu peruntukan serta memahami sejauh mana pelaksanaan projek berkenaan dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Johari menegaskan isu pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah tidak boleh disamakan dengan peruntukan tahunan Belanjawan Persekutuan.
Katanya, pemberian khas berkenaan mempunyai asas perlembagaan tersendiri, khususnya di bawah Perkara 112C, 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, penyelesaian isu itu penting bagi memberikan kepastian fiskal kepada Kerajaan Negeri supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mampan.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara telus, cekap dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
“Oleh yang demikian, kejayaan belanjawan perlu dinilai bukan sekadar melalui jumlah dana yang diumumkan, tetapi berdasarkan hasil pembangunan serta peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah,” katanya.






