Dari Sekolah ke Kebun, Jordan Fokus Kemudahan Jalan Penduduk Tulid

Dari Sekolah ke Kebun, Jordan Fokus Kemudahan Jalan Penduduk Tulid

0
SHARE

TULID: Kemudahan jalan untuk menghantar anak ke sekolah, mengurus kebun dan membawa keluar hasil pertanian terus menjadi perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Jordan Jude Ellron, menerusi pembinaan jalan konkrit di tiga kampung.

Projek yang sedang dilaksanakan itu melibatkan Kampung Tulid Station, Kampung Kuala Biah dan Kampung Luanti Baru sebagai sebahagian usaha menambah baik kemudahan asas penduduk.

Jordan yang juga Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, penambahbaikan jalan perlu mengambil kira keperluan sebenar masyarakat yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Menerusi perkongsian perkembangan projek pada 21 dan 22 Oktober, beliau memaklumkan pembinaan jalan konkrit Fasa 2 sepanjang 150 meter di Kampung Tulid Station sedang dilaksanakan.

Kerja awal melibatkan penyediaan laluan serta keperluan pemasangan pembetung bagi membantu pengurusan aliran air, bersesuaian dengan keadaan kawasan.

Di Kampung Kuala Biah pula, pembinaan jalan konkrit Fasa 2 melibatkan antara laluan utama yang digunakan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.

Menurutnya, keadaan jalan yang lebih baik diharap dapat memudahkan urusan keluarga serta melancarkan perjalanan ketika waktu persekolahan, khususnya semasa cuaca kurang baik.

Sementara itu, pembinaan jalan konkrit sepanjang 150 meter di Kampung Luanti Baru memberi tumpuan kepada keperluan pekebun yang menggunakan laluan tersebut untuk mengurus kebun dan mengangkut hasil pertanian.

Jordan berkata, laluan yang lebih kukuh amat diperlukan ketika musim hujan apabila pergerakan keluar masuk ke kawasan kebun menjadi lebih sukar.

“Pembangunan yang bermakna bukan hanya diukur melalui perubahan besar yang dapat dilihat, tetapi juga melalui kemudahan yang benar-benar membantu kehidupan seharian rakyat,” katanya.

Beliau berharap semua kerja pembinaan dapat disiapkan dengan baik mengikut perancangan supaya memberikan manfaat berpanjangan kepada penduduk.

Katanya, usaha menyediakan kemudahan asas akan terus diberikan perhatian berlandaskan pendekatan “Tidak Janji Tapi Bukti, Bukan Last Minit”.