PENAMPANG: Tiga blok gudang plastik dan 12 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini, malam Khamis.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.29 malam itu memusnahkan ketiga-tiga blok gudang jenis kekal, masing-masing berkeluasan 100 kaki panjang dan 30 kaki lebar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tiga blok gudang plastik sedang terbakar dan bantuan daripada BBP Kota Kinabalu serta BBP Putatan segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran menyebabkan ketiga-tiga blok gudang musnah 100 peratus, selain turut memusnahkan 12 kenderaan,” katanya berdasarkan laporan operasi kebakaran berkenaan.
Antara kenderaan yang dilaporkan musnah ialah empat van, tiga pacuan empat roda, sebuah motosikal, sebuah Perodua Viva, dua lori Isuzu lima tan dan sebuah Mitsubishi Triton.
Menurutnya, seramai 29 anggota bomba dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan terbabit dalam operasi pemadaman yang diketuai PBK I Benny Lim selaku Komander Operasi.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan tiga pancutan sepanjang 500 kaki dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.16 pagi Jumaat selepas kerja-kerja pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Operasi turut mendapat bantuan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).






