KUALA LUMPUR: Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam industri penyiaran, ikon pengacaraan negara, Datuk Aznil Haji Nawawi bakal berkongsi teknik komunikasi berkesan menerusi program pembangunan profesional, SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience pada 28 November depan.
Program anjuran Icon Entertainment yang julung kali diperkenalkan itu akan berlangsung di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bermula jam 3 hingga 5 petang.
Aznil berkata, program berkenaan bukan sekadar mengajar peserta bercakap di hadapan khalayak, sebaliknya memberi penekanan kepada kemahiran menyampaikan mesej dengan berkesan, membina keyakinan serta meningkatkan kredibiliti diri.
“Dalam SHOW ADA KELAS – The Signature Communication Experience juga saya tidak mengajar cara bercakap tapi mengajar cara didengar.
“Jadi secara amnya program ini dirangka bagi membantu peserta daripada pelbagai latar belakang meningkatkan keyakinan dan menguasai teknik komunikasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan profesional,” katanya.
Menurutnya, penguasaan komunikasi semakin penting dalam persekitaran yang bergantung kepada interaksi bersemuka dan digital, khususnya dalam pengucapan awam, pembentangan profesional, rundingan perniagaan, kepimpinan serta penciptaan kandungan.
Katanya, peserta akan didedahkan kepada lima modul utama merangkumi Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.
Modul itu memberi tumpuan kepada teknik mengatasi kegugupan, penggunaan bahasa badan, kawalan suara, penyusunan mesej, kemahiran pembentangan serta pembinaan penjenamaan diri.
Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, program berkenaan menggunakan pendekatan edutainment yang menggabungkan pendidikan, hiburan, demonstrasi dan latihan praktikal bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran interaktif.
“Kami tertarik dengan pendekatan edutainment yang menggabungkan unsur humor dan interaksi dalam proses pembelajaran. Kami melihat ia sebagai satu pendekatan menarik untuk diketengahkan kepada peserta.
“Bayangkan anda berpeluang menimba ilmu secara langsung atau eksklusif daripada ikon penyiaran negara yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri,” katanya.
Program itu menyasarkan penyertaan penjawat awam, eksekutif korporat, usahawan, pelajar institusi pengajian tinggi, pendidik, pemimpin belia, ketua organisasi serta pencipta kandungan.
Tiket ditawarkan pada harga RM288 dan RM388, manakala caj tambahan dikenakan bagi e-sijil sebanyak RM50, sijil fizikal RM100 serta sesi bertemu Aznil (Meet & Greet) RM200.






