Sempat Simpan Tedung Selar Dalam Kotak, Anggota APM Meninggal Dunia Selepas Dipatuk

Sempat Simpan Tedung Selar Dalam Kotak, Anggota APM Meninggal Dunia Selepas Dipatuk

0
SHARE

TEMERLOH: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sempat memasukkan semula ular tedung selar ke dalam kotak dan membasuh tangan sebelum rebah selepas dipatuk reptilia berbisa itu ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya, Sabtu lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa, Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin sempat memberitahu anggota pasukannya, “Aku dah terkena ni,” sejurus selepas dipatuk.

Kakaknya, Siti Aisyah Kamardin, 43, berkata, adiknya kemudian menyimpan ular berkenaan ke dalam kotak sebelum pergi membasuh tangan.

“Namun, arwah kemudian rebah di situ sebelum anggota pasukannya membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Menurut Siti Aisyah, kejadian berkenaan merupakan kali ketiga adiknya dipatuk ular, manakala dua kejadian terdahulu membabitkan reptilia berbeza.

Katanya, satu daripada kejadian terdahulu berlaku kira-kira tiga tahun lalu sehingga menyebabkan Muhamad Muazam koma seketika sebelum mengalami serangan jantung.

Sudah tiga kali adik kena patuk ular. Yang sebelum ini, saya ingat kira-kira tiga tahun lepas. Masa itu, arwah koma sekejap sebelum mengalami serangan jantung.

“Alhamdulillah, masa itu masih boleh bertahan, cuma selepas kejadian arwah tidak boleh buat kerja berat dan buat kerja perlahan-lahan macam biasa saja,” katanya.

Berkongsi mengenai minat adiknya terhadap reptilia, Siti Aisyah berkata, Muhamad Muazam sudah lama meminati ular dan membela beberapa jenis reptilia di rumah termasuk tedung selar, python dan sawa.

Katanya, reptilia berkenaan sering dibawa ketika melakukan demonstrasi bersama APM, namun beliau tidak mengetahui secara terperinci bagaimana ular terbabit diperoleh.

“Saya tak pasti tentang ular itu, kena tanya adik angkat arwah. Tapi memang arwah yang pilih, kalau ada pertunjukan atau persembahan, memang dia akan bawa yang itu,” katanya.

Menurutnya, sepanjang seminggu sebelum kejadian, arwah juga banyak menghabiskan masa mengendalikan ular di rumah termasuk memandikan dan bermain dengannya.

“Saya tengok dia macam biasa saja, tak sangka pula kejadian itu berlaku,” katanya.

Mengimbas kejadian, Siti Aisyah berkata, dia menerima panggilan daripada adik angkat arwah yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum bergegas ke hospital.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Daerah Temerloh dilaporkan dipatuk ular ketika mengendalikan reptilia berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas lebih 14 jam bertarung nyawa di hospital berkenaan.

Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.