KUALA LUMPUR – Hartawan yang hidup dengan memiliki kekayaan yang melampau cenderung untuk menunjukkan kehidupan mereka yang mewah di segala platform media sosial mahupun realiti hidup sebenar.
Kehidupan mereka ini bukakan hanya berlaku di Malaysia, malah perkara ini turut terjadi di negara luar.
Salah seorang individu yang sebelum ini aktif dengan gaya hidup yang mewah adalah B.R Shetty yang merupakan seorang ahli perniagaan dari India. B.R Shetty atau nama sebenarnya Bavaguthu Raghuram Shetty merupakan seorang jurujual produk Nivea pada awalnya sebelum berjaya menjadi seorang hartawan menerusi perniagaan yang diusahakan.
Pada tahun 2019, laman portal Forbes melaporkan B.R Shetty berjaya memiliki jumlah aset bernilai $3.15 bilion (RM13.18 bilion) serta turut tersenarai sebagai antara individu terkaya India.
Beranggapan kekayaan dan duit yang dimiliki tidak akan berkurangan untuk jangka masa tempoh yang panjang, B.R Shetty dilihat mulai mengubah gaya hidup dengan berbelanja secara besar-besaran.
Walau bagaimanapun, segala kemewahan yang dimiliki nampaknya tidak bertahan dalam tempoh yang panjang apabila dilaporkan syarikat milik beliau terlibat dengan masalah kewangan membuatkan B.R Shetty terpaksa menanggung masalah hutang lebih daripada $4 bilion (RM16.74 bilion).
Hal ini membuatkan kekayaan beliau jatuh dengan mendadak kerana terpaksa menanggung hutang syarikat yang tinggi dan beliau turut dilaporkan telah diharamkan dari memasuki Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Terdahulu, pelbagai kekayaan yang dikecapi oleh beliau sewaktu berada di puncak ‘karier’ dengan mengumpulkan pelbagai aset mewah.
Sewaktu zaman kekayaan beliau, B.R Shetty dilaporkan berjaya membeli apartmen dua tingkat di bangunan ikonik Dubai iaitu Burj Khalifa.
Bukan sahaja sekadar membeli seunit, malah beliau dilaporkan berjaya memborong semua unit yang berada di tingkat 100 dan tingkat 140. Difahamkan jumlah yang dibelanjakan untuk apartmen ini adalah sebanyak $25 juta (RM104.61 juta).
Beliau dilaporkan sanggup berbelanja mendapatkan apartmen tersebut hanya disebabkan apartmen tersebut mempunyai alamat yang mewah.
Bukan itu sahaja, beliau juga dilaporkan sering berparti secara besar-besaran serta turut memiliki beberapa kereta mewah seperti Rolce Royce Phantom dan Mercedes Maybach S600 selain daripada turut mempunyai pelbagai lagi koleksi kereta vintaj.
B.R Shetty dilaporkan tidak terbang bersama para penumpang yang lain sebaliknya lebih selesa untuk terbang bersama jet peribadi beliau. Dilaporkan beliau telah membayar sebanyak $4.2 juta (RM17.57 juta) untuk mempunyai 50% pegangan jet peribadi daripada ahli perniagaan hebat dari Oman.
Walau bagaimanapun, hutang tinggi yang ditanggung beliau sejak pada tahun ini (tahun 2021) membuatkan beliau terpaksa berhenti bermewah serta memilih untuk tidak membuat sebarang pembelian besar sehingga keadaan kewangan beliau kembali pulih.