AMK Sabah Gesa Pemimpin Warisan Henti Melenting Isu MoU Kerajaan Dan PH...

AMK Sabah Gesa Pemimpin Warisan Henti Melenting Isu MoU Kerajaan Dan PH – Razeef

0
SHARE
Razeef Rakimin...

KOTA KINABALU, SABAH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa pemimpin Warisan untuk berhenti melenting berkenaan isu perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin berkata, Warisan sebaliknya patut fokus untuk menjadi pembangkang yang lebih efektif.

Beliau turut mendakwa Warisan sering berlagak jaguh dengan menyatakan mereka (Warisan) tidak ingin dilihat lemah jika turut menanda tangani MoU berkenaan.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Razeef menekankan bahawa Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, cuma hadir dua (2) hari sahaja semasa Dewan Rakyat bersidang.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking…

“Terdapat dalam Hansard…antara 13 September hingga 23 September iaitu tujuh (7) hari Dewan Rakyat bersidang, Darell cuma hadir pada 13 dan 14 September…

“Malah di Dewan Rakyat kita boleh lihat dari semua Ahli Parlimen Warisan hanya Shafie Apdal sahaja yang lantang bersuara walaupun ada kalanya fakta beliau ‘kelaut’,” katanya.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal…

Katanya lagi meskipun telah menanda tangani MoU tersebut, pimpinan Pakatan Harapan masih lantang bersuara di Dewan Rakyat.

“Ini jelas MoU tidak melemahkan dan menghalang Pakatan Harapan dari berfungsi sebagai pembangkang yang efektif…

“MoU yang dipersetujui adalah sebagai jaminan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan beberapa janji dalam tempoh tertentu dan antaranya menunaikan semua perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berpendapat Warisan hanya gusar kerana mereka tidak menjadi juara dalam isu MA63.

“MA63 adalah hak Sabah dan Sarawak dan ia perlu disokong semua pihak. MA63 bukan bahan kempen pihak tertentu dan sepatutnya Warisan menyokong usaha ini…

“Sebagai pembangkang yang efektif, tugas kita adalah menjadi semak dan imbang serta menegur, kritik dan melawan ketirisan.

“Namun kita perlu menyokong segala usaha membawa Malaysia keluar dari krisis pandemik dan krisis ekonomi,” tambahnya lagi.

Razeef berkata berbeza dengan persekutuan, Pakatan Harapan tumbang akibat dikhianati namun di Sabah jelas Warisan ditolak pengundi Sabah sendiri.

“Harus diingat Warisan telah ditolak rakyat Sabah pada Pilihanraya Negeri yang lalu atas kegagalan mentadbir negeri,” katanya.