KENINGAU – Pasukan Kolej Vokasional (KV) Keningau yang terdiri daripada pelajar dan guru jurusan Seni Kulinari dan Bakeri dan Pastri berjaya memenangi satu emas, dua perak, tiga gangsa dan satu diploma di Borneo Culinary World Cup yang berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 5 hingga 7 Ogos 2026.
Pertandingan anjuran Malaysia Bersatu Culinary Association (MBCA) bersama dengan agensi lain tersebut menghimpunkan 600 peserta daripada 40 negara dengan juri daripada dalam dan luar negara. Terdapat lebih kurang 35 kategori yang dipertandingkan.
Pencapaian KV Keningau dengan tujuh anugerah tersebut telah dimenangi secara individu oleh enam orang pelajar dan seorang guru dalam lima kategori.
Dalam kategori ukiran buah dan sayur, Nur Haziqah Mairah binti Ah Yuk@Awang berjaya memenangi pingat emas manakala Lovelina Lim dan Ryan Yop masing-masing mendapat pingat perak dan diploma. Ketiga-tiga pelajar ini adalah pelajar jurusan seni kulinari.
Tiga pingat gangsa disumbangkan oleh para pelajar program bakeri dan pastri; Muhammad Aqil Adwa Khnin dalam cabaran pizza, Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip dalam pertandingan kek majlis perkahwinan gaya bebas dan Hirday Yasin dalam kategori kek bertemakan flora dan fauna. Manakala seorang guru seni kulinari, Saumon Maliki, berjaya meraih pingat perak dalam cabaran mee gaya bebas Borneo. Para pasukan ini diurus oleh tiga orang guru yang turut mengiringi mereka iaitu Kimberly V. Usit, Saleha Suhaidin dan Syuaib Samijan.






