KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Motor Day (SMD) perlu ditambah baik menerusi syarat penyertaan lebih ketat, penguatkuasaan bersepadu serta penerapan nilai sivik dan disiplin dalam kalangan peserta.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, program permotoran itu berpotensi menjadi produk pelancongan berikutan kejayaannya menarik puluhan ribu peminat motosikal dari seluruh wilayah Borneo.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kelemahan yang mendapat kritikan selepas penganjuran SMD di Kompleks Sukan Likas baru-baru ini perlu diperbaiki bagi memastikan acara berkenaan berlangsung dengan lebih teratur.
“Saya menyokong penganjuran SMD kerana program santai seperti ini berjaya menarik minat orang ramai, khususnya golongan belia yang meminati aktiviti konvoi motosikal.
“Namun, penganjurannya perlu ditambah baik dari segi syarat, disiplin, kebersihan dan penerapan nilai sivik dalam kalangan peserta,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurut laporan, lebih 70,000 peserta bermotosikal dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Labuan membanjiri perkarangan Kompleks Sukan Likas sempena acara berkenaan yang turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah, termasuk sebuah kereta Mercedes.
Masiung berkata, walaupun aspek kawalan lalu lintas diberikan perhatian, terdapat dakwaan bahawa sebahagian peserta dan peniaga meninggalkan lambakan sampah di tapak program.
“Ada juga dakwaan syarat penyertaan terlalu longgar sehingga membolehkan individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau lesen motosikal menyertai program dan menjalankan perniagaan di tapak acara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya penganjur SMD pada masa hadapan menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap peserta mempunyai lesen memandu, perlindungan insurans, cukai jalan dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“JPJ boleh menyediakan pemeriksaan keselamatan fizikal motosikal secara percuma, selain memeriksa lesen dan cukai jalan peserta.
“Jabatan Imigresen pula boleh menjalankan pemeriksaan dokumen pengenalan diri, manakala polis boleh mempertimbangkan ujian air kencing secara rawak terhadap peserta,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan kebersihan mencukupi untuk kegunaan peserta dan peniaga sepanjang acara berlangsung.
Dalam pada itu, Masiung berkata, penganjur boleh menerapkan elemen kebajikan seperti kempen derma darah bagi menambahkan nilai kemasyarakatan dalam penganjuran SMD.
“Dengan penambahbaikan menyeluruh, SMD bukan sahaja mampu menjadi acara permotoran yang menarik, malah boleh berkembang sebagai produk pelancongan berimpak tinggi dan mencerminkan sikap bertanggungjawab pesertanya,” katanya.






