Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 Perkukuh Perlindungan Pemiutang

Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 Perkukuh Perlindungan Pemiutang

0
SHARE

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] mulai 28 Ogos lalu dijangka memperkukuh keupayaan Malaysia mengendalikan kes insolvensi yang melibatkan aset, pemiutang dan prosiding merentasi lebih daripada satu bidang kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, akta berkenaan merupakan sebahagian agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dan sejajar dengan perkembangan ekonomi serta perdagangan antarabangsa.

Akta 877 menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa,” menurut mereka dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Akta itu berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), namun disesuaikan dengan undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.

Menurut Azalina dan Armizan, pelaksanaan kerangka berkenaan akan membolehkan kes insolvensi rentas sempadan diurus dengan lebih cekap, selain memperkukuh kerjasama antara mahkamah dengan pihak berkuasa berkaitan.

Penguatkuasaan Akta 877 akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan, memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan, meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan,” kata mereka.

Pada masa sama, akta berkenaan turut bertujuan membantu memaksimumkan nilai aset penghutang serta memudahkan usaha menyelamatkan perniagaan yang berdepan masalah insolvensi.

Langkah itu penting dalam usaha melindungi pelaburan dan memelihara pekerjaan, khususnya apabila sesebuah kes melibatkan kepentingan perniagaan atau aset di beberapa negara.

Azalina dan Armizan berkata kerajaan komited memastikan pelaksanaan Akta 877 dilakukan secara teratur, cekap dan berkesan.

Ia sekali gus diharap dapat memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.