KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri serta PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang menghampiri paras 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Zainudin Aman berkata, perkembangan itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.
Setakat jam 5 petang Selasa (1 September), Kota Kinabalu merekodkan bacaan IPU 177, diikuti Kimanis, Papar (166), Keningau (165), Tawau (153) dan Politeknik Kota Kinabalu (153), dengan kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.
Menurut Zainudin, Ketua Menteri turut dimaklumkan bahawa peningkatan bacaan IPU dipengaruhi pergerakan angin yang menghala ke Sabah dan keadaan itu dijangka berterusan selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan.
Beliau berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kawasan terjejas berkenaan kini dikategorikan pada tahap Amaran 1A.
“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.
Zainudin berkata, sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dicadangkan untuk dibatalkan atau ditangguhkan, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan supaya sekolah di kawasan yang mencatat bacaan IPU 200 dan ke atas ditutup serta pembelajaran dilaksanakan dari rumah.
Bagaimanapun, pengisytiharan darurat atau bencana jerebu hanya akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.
Dalam pada itu, Zainudin turut mencadangkan supaya solat hajat dilaksanakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan susulan keadaan jerebu.
“Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.






