Dadah Dalam Kotak ‘Smart Watch’, 6 Remaja Ditahan Polis

Dadah Dalam Kotak ‘Smart Watch’, 6 Remaja Ditahan Polis

0
SHARE

KUCHING – Enam remaja ditahan termasuk dua perempuan dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di sini bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut laporan Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif dipetik berkata serbuan dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Sekama sekitar jam 9.50 malam pada Sabtu selepas menerima maklumat awam.

Menurut Sahar, pihaknya menjalankan pemeriksaan badan terhadap seorang suspek berusia 24 tahun, dan menemui satu paket plastik lutsinar berisi dedaun kering disyaki ganjadengan berat kasar tujuh gram.

Susulan itu, pemeriksaan lanjut ke atas bilik tersebut oleh pasukan serbuan telah menjumpai beg plastik berwarna kuning mengandungi kotak Smart Watch. Di dalamnya (kotak Smart Watch) terdapat satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 152 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi dedaun keringdisyaki ganja seberat 29 gram.

“Selain itu, kotak rokok Dunhill yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 1.75 gram,” jelas Sahar sambil mendedahkan anggaran nilai rampas berjumlah RM811.

Hasil siasatan awal, suspek dari Kuching itu mengaku memiliki semua barang kes tersebut dan bergiat aktif dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lalu.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 26 tahun dan didapati positif dadah jenis THC (ganja) dan methapethamine selepas ujian saringan air kencing.Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek pernah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a).

Menurut Sahar, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya1952, Seksyen 6, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) di bawah akta yang sama.