TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki menceroboh sebuah kebun dengan membawa senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pemilik kebun yang ternampak seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengadu turut mendapati suspek membawa senapang angin guli buatan sendiri dan dipercayai memotong rantai pada pintu pagar kebun.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah telah pergi ke lokasi.
“Pasukan berkenaan berjaya menahan seorang lelaki yang sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun dan membuat pemeriksaan ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Wilynton berkata, hasil soal siasat awal membawa kepada penemuan senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau dan hitam yang diletakkan di atas sebuah kerusi di bawah pokok.
“Suspek telah menunjukkan lokasi senapang berkenaan sebelum polis merampas senjata itu untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis menegaskan akan terus mempergiat rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di daerah Tawau terpelihara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu atau aktiviti mencurigakan.






