Safoda Lancar Kajian Tenaga Angin Pertama Sabah di Kota Belud

Safoda Lancar Kajian Tenaga Angin Pertama Sabah di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Sabah melangkah ke arah pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi projek perintis tenaga angin pertama negeri dengan pemasangan menara pengukuran meteorologi (Met Mast) di tapak Sabah Forestry Development Authority (Safoda) Ulu Kukut di sini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, menara setinggi 130 meter itu akan mengumpul data kelajuan dan corak angin selama dua tahun bagi menilai potensi pembangunan ladang angin berskala besar.

Met Mast yang dilengkapi sensor canggih itu merekod data seperti kelajuan dan arah angin, suhu serta tekanan udara menerusi kerjasama bersama TNB Research Sdn Bhd.

Sekiranya kajian menunjukkan potensi, projek berkenaan boleh membawa kepada pembangunan ladang angin pertama Sabah berkapasiti 130 megawatt (MW), melibatkan kira-kira 20 turbin dengan anggaran pelaburan RM582 juta.

Isnin berkata, projek itu berpotensi mengurangkan kebergantungan Sabah kepada tenaga konvensional selain membuka peluang pendapatan baharu.

Beliau berkata, Safoda mengurus kira-kira 80,000 hektar tanah di seluruh Sabah yang turut berpotensi untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan agroperhutanan.

Selain tenaga angin, Safoda turut mempelbagaikan penggunaan tanah menerusi tanaman seperti jagung makanan ternakan dan kelapa hibrid bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil kayu.

Projek itu selari dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda Sabah Maju Jaya dalam memperkukuh pembangunan mampan serta ekonomi rendah karbon.