KOTA KINABALU: Tiga pekerja di Sabah menerima manfaat di bawah Skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas mengalami kemalangan di luar waktu bekerja.
PERKESO dalam kenyataan memaklumkan, penerima terbaharu ialah Nor Faliqh Farhan Hasswandi, 20, yang mengalami kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kampung Padang Berempah, Sipitang pada 6 Jun lalu.
Beliau disahkan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), selain kos rawatan perubatan dan implan dengan jumlah keseluruhan RM3,921.
Sementara itu, Rohmi Rani, 26, dari Tenom menerima manfaat sama selepas melecur pada muka dan kedua-dua tangan akibat letupan gas ketika membakar sampah di halaman rumah pada 25 Jun lalu. Beliau menerima gantian pendapatan FHUS sebanyak RM180 bagi tempoh cuti sakit.
Seorang lagi penerima, Roslan Jamiri, 23, yang bekerja sebagai tukang masak hotel, mengalami patah tangan kiri selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan bertemu rakannya di Bundusan pada 26 Jun lalu.
Beliau menerima bayaran FHUS berjumlah RM702 sepanjang tempoh cuti sakit.
PERKESO berkata Skim LINDUNG 24 Jam memberi perlindungan kepada pekerja terhadap kemalangan bukan bencana kerja, termasuk kejadian di rumah atau ketika melakukan aktiviti peribadi, selaras usaha memastikan kebajikan dan keselamatan kewangan pencarum terus terjamin.






