Hijjaz Kembali Dengan Album Studio Baharu “Akhir Bersamamu”

Hijjaz Kembali Dengan Album Studio Baharu “Akhir Bersamamu”

0
SHARE

PETALING JAYA: Kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz, kembali mengubat kerinduan peminat menerusi album studio terbaharu berjudul ‘Akhir Bersamamu’ yang mula tersedia di platform penstriman digital utama sejak 10 Julai lalu.

Album itu menampilkan enam lagu baharu yang mengekalkan identiti harmoni vokal Hijjaz, namun dengan susunan muzik yang lebih segar.

Kesemua lagu mendapat sentuhan anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim sebagai komposer.

Bagi memperkukuh mesej dakwah, kemanusiaan dan kecintaan yang diketengahkan, album itu turut menampilkan karya penulis lirik ternama termasuk Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os.

Antara lagu yang dimuatkan ialah Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-Mu, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah.

Diterbitkan di bawah Inteam Records Sdn Bhd, album berkenaan menandakan perjalanan hampir tiga dekad Hijjaz dalam industri muzik tanah air, selain membawa mesej ketuhanan dan sirah untuk santapan rohani masyarakat.