PENAMPANG, SABAH – Konsert Keehoi MalaysiaKu meraikan kemajmukan bahasa etnik sekaligus menyuntik semangat patriotisme cintakan Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata penyampaian mesej kenegaraan menerusi Konsert Keehoi Malaysiaku yang menampilkan artis dengan lagu-lagu dalam pelbagai bahasa tempatan merupakan satu keunikan yang tidak boleh dinafikan kekuatan dan keberkesanannya.
“Tambahan pula, Konsert Keehoi Malaysiaku anjuran SABAHVfm ini turut mendekati pendengar menerusi penglibatan juruhebah daripada siaran bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Bajau bagi mempromosikan rancangan terbitan SABAHVfm.
“Program seumpama ini dapat memperkukuh perpaduan sesama kita yang berbilang kaum selari Nilai Teras-Kemampanan dalam Malaysia Madani bagi mencapai mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.
“Oleh itu, saya yakin kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri sentiasa, dan akan terus menyokong penganjuran program seperti ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya semasa menghadiri Konsert Keehoi Malaysiaku di Buhavan Square, Donggongon pada Jumaat malam.
Konsert terbitan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah itu mengajak masyarakat menghayati dan menghargai erti kemerdekaan tanpa mengira bangsa atau agama selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.
Konsert dua jam tersebut menampilkan Francis Landong, Rosario Bianis, Elyia Guntabid, Afiezal Fahmi Inggu dan Jaidy Kamlun@Lobo serta menampilkan gandingan penyampai SABAHVfm.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk John Ambrose, Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong dan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendent Sammy Newton. — JABATAN PENERANGAN SABAH