LOS ANGELES – Syarikat penerbangan United Airlines bakal melancarkan penerbangan tanpa henti paling lama ke atau dari Amerika Syarikat, sepanjang 14,001 kilometer (km) yang menghubungkan bandar raya Los Angeles dan Singapura.
AFP melaporkan bahawa penerbangan hampir 18 jam itu akan berlepas dari Los Angeles pada jam 9.25 pagi waktu tempatan dan mendarat keesokannya di Singapura pada jam 6.20 pagi waktu tempatan.
Pegawai United Airlines berkata, perkhidmatan setiap hari itu menjadi penerbangan tanpa henti paling lama dari AS ke mana-mana tempat di dunia.
Sebelum ini, rekod dipegang syarikat penerbangan Qantas, yang mengendalikan penerbangan sepanjang 14,091 km antara Dallas dan Sydney, selain United sendiri yang mengendalikan penerbangan 13,592 km laluan San Francisco-Singapura yang dilancarkan tahun lalu.
Kedua-dua laluan Los Angeles dan San Francisco dikendalikan United Airlines menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang boleh memuatkan 250 penumpang.