GUANGZHOU: Sabah berhasrat memanfaatkan teknologi dan kepakaran industri perikanan moden dari China bagi membangunkan kawasan seluas kira-kira 50 ekar di Numbak, Sepanggar sebagai hab perikanan bersepadu dalam usaha memperkukuh ekonomi biru negeri.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pembangunan itu berpotensi dilaksanakan dengan mencontohi model Taman Perindustrian Perikanan Moden Nansha di Guangzhou, China.
Menurutnya, lawatan delegasi kerajaan dan sektor perniagaan Sabah ke Nansha memberikan pendedahan terhadap penggunaan teknologi canggih serta pendekatan pembangunan industri perikanan yang mengintegrasikan aktiviti pengeluaran, penyelidikan, latihan, pemprosesan dan pemasaran.
Beliau berkata, kawasan seluas kira-kira 50 ekar yang diperuntukkan di Numbak merupakan titik permulaan penting untuk membangunkan industri perikanan negeri secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Katanya, kawasan berkenaan berpotensi dibangunkan sebagai Pusat Pembangunan Perikanan Sehenti (One-Stop Fisheries Development Centre) yang menggabungkan aktiviti akuakultur, penyelidikan dan pembangunan teknologi, latihan tenaga kerja, pemprosesan produk serta pemasaran.
Dexter berkata, pembangunan industri perikanan moden tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti akuakultur semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian industri daripada pembekalan benih ikan sehingga produk dipasarkan kepada pengguna.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan pengeluaran, malah menambah nilai produk perikanan tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.
Beliau turut menggalakkan kerjasama dengan pemain industri China bagi membawa masuk teknologi dan kepakaran, selain meneroka potensi pembangunan industri ikan hiasan serta produk makanan laut.
“Kita bukan hanya bercakap mengenai wang, tetapi juga sumber dan produk. Kita perlu memikirkan bagaimana membawa keluar yang terbaik dari Sabah supaya lebih ramai orang mengenali keistimewaan Sabah, di samping mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pengalaman Nansha dalam pembangunan akuakultur moden dan penggunaan teknologi boleh dijadikan rujukan bagi memperkukuh industri perikanan negeri.
Beliau berkata, lawatan itu memberikan input berguna kepada kerajaan negeri, khususnya dalam perancangan memindahkan institusi perikanan berkaitan dari pusat bandar ke Numbak.
Menurutnya, kawasan yang diperuntukkan itu berpotensi menjadi pangkalan pembangunan industri perikanan moden, selain membuka peluang untuk memanfaatkan teknologi dan kepakaran industri dari China.
Jamawi berkata, Sabah juga perlu memperluas pembangunan industri perikanan melangkaui aktiviti pembiakan benih ikan sedia ada dengan meneroka sektor ternakan ketam, pemprosesan serta industri hiliran berkaitan.
Katanya, langkah itu penting bagi membentuk rantaian nilai industri yang lengkap daripada peringkat pengeluaran sehingga pemasaran, sekali gus meningkatkan daya saing produk perikanan Sabah.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan matlamat ekonomi biru di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Lawatan delegasi Sabah ke Nansha turut membuka ruang kepada kerjasama lanjut dengan pemain industri China, khususnya dalam pemindahan teknologi, pembangunan industri dan peluasan pasaran produk perikanan tempatan.






