Kerajaan Cadang Larangan Telefon Pintar untuk Pelajar Bawah 16 Tahun – Anwar

Kerajaan Cadang Larangan Telefon Pintar untuk Pelajar Bawah 16 Tahun – Anwar

0
SHARE

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini mencadangkan tiga langkah utama bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membendung masalah disiplin dan pengaruh negatif media sosial serta permainan dalam talian yang sering dikaitkan dengan kes buli dan jenayah dalam kalangan pelajar.

“Larangan penggunaan telefon pintar untuk umur 16 tahun ke bawah sedang diperhalusi, namun saya fikir kita harus tegas dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, Jemaah Menteri turut menyarankan supaya polis dan Kementerian Dalam Negeri mempertingkatkan pemantauan keselamatan di sekolah, serta menambah baik kandungan pendidikan dengan kerjasama ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurut Anwar, langkah ini penting bagi menerapkan nilai murni dan akhlak dalam kalangan pelajar sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memberi penjelasan lanjut dalam masa terdekat termasuk mengadakan sesi libat urus dengan sekolah, PIBG dan masyarakat.

“Saya harap semua pihak termasuk guru besar, pengetua, guru dan ibu bapa dapat memberi kerjasama sepenuhnya kerana kadangkala masalah timbul akibat salah faham atau keutamaan yang tidak selari,” katanya.