KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap penguatkuasaan had umur baharu belia yang akan bermula pada 1 Januari tahun depan kerana dikhuatiri menjejaskan golongan muda berusia antara 31 hingga 40 tahun di negeri ini.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, pelaksanaan dasar tersebut akan menyebabkan golongan berkenaan tercicir daripada pelbagai program pembangunan belia yang selama ini menjadi platform penting dalam membina potensi dan sahsiah diri.
“Apabila dilaksanakan kelak, kita bakal menyaksikan golongan berusia 31 hingga 40 tahun di Sabah tercicir daripada program-program pembangunan belia yang dinaungi kerajaan.
“Kekhuatiran kami ialah mereka akan mencari ruang pembelajaran di luar sistem rasmi dan terdedah kepada fahaman atau ideologi yang mungkin bertentangan dengan aspirasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah mengehadkan umur belia kepada 30 tahun dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan terdahulu tanpa mengambil kira faktor demografi, geografi dan kepelbagaian budaya di Sabah yang unik berbanding negeri lain.
Menurut Abqaree, penguatkuasaan had umur baharu itu juga boleh menjejaskan saiz peruntukan kewangan untuk pembangunan belia, sekali gus memberi kesan kepada impak dan prestasi pelbagai program di negeri ini.
“Apabila jumlah belia yang layak semakin kecil, secara langsung peruntukan juga akan berkurang.
“Keadaan ini boleh merencatkan usaha kerajaan dan organisasi belia untuk memperkasa anak muda Sabah,” ujarnya.
Katanya lagi, mempercepatkan proses belia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kepentingan golongan muda lain yang masih memerlukan bimbingan serta sokongan pembangunan diri.






