Semangat Sabah Berkibar di Himalaya

Semangat Sabah Berkibar di Himalaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semangat dan jati diri rakyat Sabah kembali mendapat perhatian antarabangsa apabila logo yang melambangkan negeri itu berjaya dikibarkan di pergunungan Himalaya pada ketinggian 5,364 meter, antara titik tertinggi di bumi yang pernah menyaksikan lambang berkaitan Sabah berkibar megah.

Kejayaan ini direkodkan pada 15 Oktober lalu sempena pendakian ke Kala Patthar oleh pasukan ekspedisi Malaysia yang turut disertai empat pendaki dari Sabah.

Empat anak Sabah itu, Stanley Catherinus, Dufy Robert, Shyril Gerald Peter dan Darlien Appolonius, tampil mengenakan sigah Papar serta pakaian tradisional Kadazan Papar berwarna-warni yang menyerlah di tengah suasana salji, melambangkan perpaduan masyarakat majmuk Sabah yang progresif.

Ekspedisi itu turut menerima tajaan sebahagian daripada POIC Sabah Sdn Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang membangunkan Taman Perindustrian POIC serta menguruskan Pelabuhan POIC Lahad Datu.

“Walaupun suhu mencecah -22°C dan kami tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak Kala Patthar atas nasihat jurupandu, semangat kami tidak pernah luntur,” kata Darlien melalui pesanan WhatsApp.

POIC menyifatkan semangat juang dan ketabahan para pendaki sebagai lambang kecekalan serta daya tahan rakyat Sabah, seiring dengan aspirasi korporat syarikat untuk terus melangkaui batas dan membawa Sabah ke persada dunia.