Aplikasi Sabah Smart Parking Mula Dikuatkuasa

Aplikasi Sabah Smart Parking Mula Dikuatkuasa

0
SHARE
Abidin
Abidin (tiga dari kanan) dan Sabin (tiga dari kiri) menunjukkan aplikasi Smart Parking yang telah dimuat turun ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Selepas genap sedekad pelaksanaan Sistem Letak Kereta Berkupon di Bandaraya Kota Kinabalu, aplikasi Sabah Smart Parking dikuatkuasakan bermula semalam.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang juga Menteri Bertanggungjawab Kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata aplikasi tersebut melibatkan12,000 petak parkir di 27 kawasan yang merangkumi sembilan dalam pusat bandar raya, manakala 18 kawasan lagi di luar pusat bandar.

Perubahan dari Sistem Letak Kereta Berkupon kepada penggunaan Sistem Letak Kereta Digital adalah salah satu pencapaian yang membanggakan.

“Aplikasi Sabah Smart Parking merupakan perubahan langkah pendigitalan dalam pengurusan tempat letak kereta di bandaraya tersebut secara tidak langsung berjaya menyahut aspirasi kerajaan negeri ke arah pembudayaan pendigitalan dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Menurut Abidin, setakat ini, jumlah pengguna yang telah memuat turun aplikasi terbabit berjumlah 40,000 orang dan menjangkakan angka itu akan bertambah dalam masa terdekat memandangkan penjualan kupon letak kenderaan telah dihentikan.

“Setakat ini ada 40,000 pengguna yang memuat turun aplikasi ini dan kita jangkakan jumlah ini akan meningkat kerana pengguna bukan sahaja dalam kalangan warga Kota Kinabalu tetapi juga pengunjung dari daerah-daerah atau negeri dan negara lain.

“Penjualan kupon dihentikan hari ini (semalam) tetapi orang ramai masih boleh menggunakan baki kupon letak kereta yang ada dalam simpanan hingga habis, selepas itu gunakanlah aplikasi,” jelasnya.

Sementara itu, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah menjangkakan jumlah pendapatan bagi tempat letak kenderaan akan meningkat berbanding purata penjualan kupon yang mencecah RM1.2 juta sebulan dengan peningkatan 20 peratus, pada tahun lepas.

“Digital parking ini kita boleh kurangkan kos dari segi operasi seperti printing coupon dan sebagainya dan ia lebih efisyen sebab orang ramai boleh membayar dengan menggunakan aplikasi.

“Jadi, apabila orang ramai tidak perlu kelam kabut pergi ke kereta untuk membuat topup, kita boleh dapat collection lebih baik, lebih cepat,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Sabah Smart Parking di ibu negeri, pada Rabu.

Selain memudahkan pembayaran caj letak kereta, aplikasi Sabah Smart Parking juga menyediakan semakan dan pembayaran kompaun serta pembelian pas bulanan letak kereta awam. — JABATAN PENERANGAN SABAH