KOTA KINABALU, SABAH Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) senalam telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud, berhubung isu bil elektrik yang didakwa terlampau tinggi yang melibatkan penduduk Kampung Kulambai, Kampung Kuala Abai dan Kampung Kulambai Dundau, Kota Belud baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Yaakob Jaafar berkata laporan berkenaan dibuat bertujuan untuk siasatan lanjut diteruskan mengenai isu tersebut kerana khuatir kemungkinan wujud salah laku dan perbuatan yang melanggar undang-undang daripada pihak tertentu.
“SESB juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan susulan kepada pihak berkuasa.
“Pada masa yang sama, SESB sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut dalam usaha memastikan tidak berulang.
“SESB turut mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud elemen rasuah berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Yaakob turut menegaskan bahawa SESB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pekerja SESB sekiranya didapati terlibat dalam perbuatan salah guna kuasa yang membawa kepada ketirisan bekalan elektrik dan membebankan pelanggan.






