UMS Jadi Platform Wacana Hubungan Antarabangsa Bersama Duta Romania

UMS Jadi Platform Wacana Hubungan Antarabangsa Bersama Duta Romania

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat wacana ilmu apabila menganjurkan program The International Relations Ambassador Talk bersama Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Bărbulescu, bagi meningkatkan kefahaman diplomasi antarabangsa dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penganjuran siri syarahan tersebut merupakan inisiatif signifikan yang membuka ruang interaksi langsung antara komuniti akademik dan pengamal hubungan antarabangsa.

“Program ini amat bermakna dengan kehadiran Nineta Bărbulescu yang mempunyai pengalaman luas dalam diplomasi global, sekali gus memperkayakan perspektif kita terhadap isu-isu antarabangsa.

“Program Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), bersama bidang lain seperti Sejarah, Geografi, Komunikasi, Perhubungan Industri, Sosiologi dan Antropologi, akan terus memainkan peranan penting dalam memupuk pemikiran kritis serta kesedaran global dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena program berkenaan di sini.

Kasim turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya di Sabah menjadi kelebihan dalam membentuk persekitaran akademik yang dinamik, sekali gus mempersiapkan pelajar untuk berinteraksi dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berhubung.

Menurutnya, perkembangan geopolitik semasa termasuk ketegangan melibatkan Iran memberi implikasi luas terhadap ekonomi dan keselamatan global, justeru perkongsian perspektif antarabangsa amat penting dalam memahami dinamika tersebut.

“UMS amat menghargai kesudian Nineta berkongsi pandangan mengenai dasar luar Romania serta perkembangan global dari perspektif Eropah.

“Kita berharap lawatan ini dapat terus mengukuhkan hubungan persahabatan serta kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Romania,” ujarnya.

Dalam sesi wacana itu, Nineta Bărbulescu turut berkongsi pandangan mengenai dasar luar Romania pasca Revolusi Romania awal 1990-an serta kepentingan dialog, persefahaman dan pembentukan kerjasama strategik dalam dunia yang semakin saling bergantung.

Turut hadir, Dekan FSSK Profesor Dr. Asmady Idris; Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Profesor Madya Dr. Wardatul Akmam Din; serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr. Rizal Zamani Idris.