KUALA LUMPUR – Enam belas (16) projek infrastruktur jalan dan jambatan Persekutuan telah diluluskan bagi Negeri Sabah melalui Kementerian Kerja Raya setakat bulan lalu.
Enam (6) projek tersebut merupakan projek pembinaan Jalan Persekutuan manakala baki sepuluh (10) projek yang diluluskan merupakan projek pembinaan dan menaik taraf jambatan bagi Jalan persekutuan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof berkata demikian sebagai balasan kepada soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Beaufort, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun di Parlimen pagi tadi.
“Bagi pelaksanaan enam (6) buah projek infrastruktur Jalan persekutuan, sebanyak empat (4) buah projek sedang dalam fasa pembinaan yang dilaksanakan oleh Agensi Pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2022.
“Baki dua (2) projek lagi, ia sedang berada pada fasa perancangan dan reka bentuk,” katanya.
Jumlah keseluruhan kos projek bagi keenam-enam projek tersebut adalah sebanyak RM1.6 bilion.
Tambahnya, status terkini bagi sepuluh (10) projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur jambatan pula adalah satu (1) projek sedang dalam fasa pembinaan manakala sembilan (9) lagi kini berada pada fasa perolehan dan dijadualkan akan bermula pertengahan tahun 2022.
“Jumlah keseluruhan kos projek bagi kesemua projek jambatan adalah RM122.13 juta,” ulasnya.
Berhubung pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pula, Fadillah berkata satu (1) pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru sepanjang 20.8 Km diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“Ianya sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan 15 pakej kerja sepanjang 281 Km yang kini dalam fasa pembinaan.
“Pakej kerja berjumlah RM513 juta ini sedang dalam fasa perancangan dan dijangka akan ditender pada suku kedua tahun 2022. Sehubungan itu, sebanyak enam belas (16) pakej kerja yang telah komited pelaksanaannya pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan, Kementerian Kerja Raya telah melaksanakan beberapa kaedah pemantauan.
Pada peringkat Kementerian, antaranya termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian Kerja Raya (MTPK) yang dilaksanakan secara bulanan dan dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya atau Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian.
Mesyuarat Koordinasi Permasalahan Kontrak (CCP) dipengerusikan oleh KSU, berdasarkan keperluan dan Mesyuarat berkala bersama Agensi Pelaksana.
Pada peringkat agensi pelaksana katanya mesyuarat teknikal, status kemajuan projek secara bulanan serta lawatan pemeriksaan dan pengauditan projek turut dijalankan.
“Kementerian Kerja Raya komited untuk memastikan projek-projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut perancangan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” tambahnya.