KUCHING, SARAWAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga ikhtiar utama sempena Hari Malaysia pada 16 September 2026 bagi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Antaranya ialah Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan sebanyak RM500 secara sekali beri kepada pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.
Bantuan itu melibatkan 7,095 pelajar baharu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, merangkumi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi BUDI Diesel, pemindahan kelayakan kini diperluas kepada warganegara Malaysia yang layak, termasuk mereka yang menggunakan kenderaan secara “sambung bayar”, berbanding hanya kepada ahli keluarga sebelum ini.
Pemilik lebih daripada satu kenderaan pula boleh memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan, terhad kepada maksimum tiga kenderaan. Penambahbaikan itu berkuat kuasa serta-merta dengan permohonan melalui portal BUDI MADANI.
Dalam amanat sama, Anwar mengumumkan pemberian khas Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun, berkuat kuasa bagi tahun 2026, menyamai kadar interim pemberian khas Sabah.
Kerajaan Persekutuan akan terus berunding dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memuktamadkan formula pemberian khas tahunan kedua-dua negeri.
Mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebanyak 13 perkara telah dimuktamadkan, dengan sembilan daripadanya diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah serta pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal.






