Friends of BHESS Bakal Ditubuh, Perkukuh MA63 Sebagai Naratif Nasional

Friends of BHESS Bakal Ditubuh, Perkukuh MA63 Sebagai Naratif Nasional

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengusahakan penubuhan Friends of BHESS (Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sebagai wadah memperluaskan kefahaman dan sokongan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia.

Menurutnya, langkah berkenaan susulan persetujuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional.

“Pendekatan ini penting kerana perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia.

“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, Friends of BHESS akan menyediakan ruang perbincangan dan perkongsian maklumat yang lebih terbuka serta konstruktif dalam kalangan Ahli Parlimen dan Senator, khususnya berhubung perkara yang memerlukan kefahaman dan sokongan di peringkat Parlimen.

Katanya, inisiatif itu juga selari dengan hasrat Perdana Menteri susulan pengumuman bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, usaha merealisasikan perkara berkenaan memerlukan proses perundangan serta sokongan mencukupi di Parlimen.

“Ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Friends of BHESS diharapkan dapat membantu membina kefahaman tersebut dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, merentasi wilayah serta politik kepartian,” katanya.

Mustapha menegaskan, usaha memperkukuh hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak tidak seharusnya dilihat dalam konteks kepentingan kedua-dua wilayah semata-mata, sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh Malaysia.

“Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara,”katanya.