KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni mangsa terlibat tragedi kebakaran membabitkan tiga kampung di Numbak baru-baru ini.
Beliau diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mengunjungi mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Damai.
Dalam kunjungan itu, Anwar dan Hajiji meluangkan masa bertemu keluarga terjejas serta menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi berkenaan.
Anwar berkata, beliau amat tersentuh apabila dimaklumkan kebakaran itu turut meragut nyawa tiga kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun.
“Kehilangan anak-anak kecil dalam musibah sebegini tentunya meninggalkan luka yang amat dalam, bukan sahaja buat keluarga, malah seluruh komuniti yang turut berkongsi kedukaan ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga kanak-kanak berkenaan dan mendoakan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian itu.
Bagi meringankan beban mangsa, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada 111 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas, selain sumbangan kotak makanan.
Bantuan berkenaan melengkapi bantuan yang telah disalurkan Kerajaan Negeri Sabah kepada mangsa kebakaran.
Menurut Anwar, usaha membantu keluarga terjejas tidak boleh terhenti setakat bantuan segera, sebaliknya tindakan susulan perlu dipercepatkan bagi membolehkan mereka membina semula kehidupan.
“Usaha juga mesti dipercepat bagi memastikan keluarga yang kehilangan tempat berteduh dapat kembali membina kehidupan dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, sementara anak-anak yang terkesan dapat segera kembali ke sekolah dan meneruskan kehidupan seperti sediakala,” katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Likas sebelum mengunjungi PPS berkenaan.
Kebakaran yang melanda penempatan di Numbak itu bukan sahaja memusnahkan kediaman penduduk, malah mengorbankan tiga kanak-kanak, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa dan komuniti setempat.






