Lapan Rumah Kategori Miskin Tegar Bakal Terima Bantuan Solar Di Kampung Nabahan

Lapan Rumah Kategori Miskin Tegar Bakal Terima Bantuan Solar Di Kampung Nabahan

0
SHARE

BEAUFORT: Lapan rumah bakal menerima bantuan solar di Kampung Nabahan menerusi projek Keusahawanan Sosial Solar for Beaufort Community dengan kerjasama Kolej Komuniti Beaufort, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Tun Hussein On (UTHM) dan projek pembiayaan diperuntukkan menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, projek pemasangan solar yang bernilai RM83,000 ribu itu turut melibatkan satu surau dan juga astaka serta dijangka akan mula dilaksanakan pada 11 dan 12 Mei ini.

“Antara tujuannya adalah untuk menyahut seruan kerajaan yang mana fokus mengurangkan bilangan miskin tegar yang sekarang ini tinggal lagi ada 12,000 lebih orang yang masih dalam senarai.

“Kita melihat perkampungan ini, mereka tiada rangkaian elektrik dan seperti yang kita dimaklumkan bahawa mereka menggunak ganset di mana setiap rumah perlu membelanjakan lebih kurang RM600 sebulan untuk membeli minyak petrol.

“Maknanya, dengan adanya pemasangan solar ini, maka perbelanjaan mereka untuk membeli minyak petrol dapat dikurangkan sehingga RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui dalam program itu pada Sabtu.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, selain memberikan solar, pihaknya akan turut memberi bimbingan kepada masyarakat setempat untuk menjalani latihan keusahawanan dengan menggunakan media sosial dan juga pembangunan produk.

“Kampung ini mempunyai banyak produk sebenarnya, tetapi belum diterokai. Maka itu, dengan kerjasama kita bersama Kolej Komuniti Beaufort, UMS UTHM dan juga wakil badan bukan kerajaan (NGO) , kita mungkin dapat sama-sama membangunkan ekonomi masyarakat di kampung ini,” katanya.

Pada masa sama, Ruslan turut memaklumkan bahawa kejayaan projek rintis ini bakal membawa pembangunan sama di perkampungan lain yang memerlukan.