Lebih 10 Tokoh Dikir Barat Bakal Gegar Muzium Negara 7 November

Lebih 10 Tokoh Dikir Barat Bakal Gegar Muzium Negara 7 November

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lebih 10 tokoh dan penggiat seni Dikir Barat bakal berkongsi pentas menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 7 November depan.

Antara nama yang bakal menjayakan persembahan itu ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman.

Program anjuran Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara serta sokongan Yayasan Hasanah menerusi geran ArtsFAS (Arts For All Seasons) itu bertujuan mengangkat Dikir Barat sebagai warisan seni negara yang terus relevan merentasi generasi.

Menurut kenyataan penganjur, program berkenaan bukan sekadar mengetengahkan persembahan kebudayaan, malah menjadi platform pendidikan, perkongsian ilmu dan usaha pemuliharaan seni tradisional.

“Gabungan tokoh dan penggiat daripada pelbagai latar pengalaman ini bukan sahaja menjadi penghormatan kepada mereka yang terus memperjuangkan seni Dikir Barat, malah mencerminkan keupayaan warisan tersebut untuk kekal relevan dan dekat dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Selain persembahan utama, pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi khas Seni Berpantun dalam Dikir Barat bersama Sabri Yunus yang akan mengupas keunikan bahasa, kreativiti, teknik rima dan kemahiran penceritaan dalam seni berkenaan.

Program itu juga memberi tumpuan kepada penglibatan generasi muda menerusi Dikir Barat Youth Camp yang menyediakan bengkel penghasilan lirik, muzik dan teknik persembahan kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Peserta kem berkenaan turut berpeluang menghasilkan persembahan akhir berdasarkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang program.

Dalam pada itu, Forum Warisan akan menghimpunkan tokoh seni, penggiat budaya dan pendidik bagi membincangkan cabaran serta masa depan Dikir Barat dalam masyarakat moden.

Penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada pendokumentasian digital persembahan sebagai bahan arkib, pendidikan dan rujukan untuk generasi akan datang.

Pemilihan Muzium Negara sebagai lokasi penganjuran dilihat sebagai usaha memperluas penghayatan masyarakat terhadap Dikir Barat yang berasal dari Pantai Timur sebagai sebahagian daripada khazanah budaya negara.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Nasi Kerabu Moknab sebagai rakan kolaborasi dalam usaha memartabatkan seni warisan Dikir Barat.