KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kini sedang membangunkan sebuah Rumah Warga Tua Kendiri di Telupid sebagai inisiatif perintis bagi menempatkan warga emas tanpa waris secara percuma.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib semasa menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Menurut beliau, pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh kebajikan sosial dan menyediakan tempat perlindungan selamat kepada golongan warga emas yang memerlukan penjagaan khas.
“Rumah ini bakal menjadi contoh model penjagaan kendiri yang boleh diperluaskan ke kawasan bandar lain seperti Sandakan dan Kota Kinabalu pada masa hadapan,” kata James.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa projek tambahan yang dirancang kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) termasuk pembinaan Kompleks Latihan OKU dan Taman Didikan Kanak-Kanak OKU baharu di Sandakan serta Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas di Inanam, Kota Kinabalu.
Kompleks di Inanam itu katanya, bakal menyediakan, penjagaan harian berbayar untuk 50 penghuni; kemudahan latihan dan pekerjaan untuk OKU; dan sokongan psikososial untuk warga emas.
James menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperluas capaian perkhidmatan sosial kepada golongan rentan khususnya warga emas dan OKU, selaras dengan prinsip inklusif dan sejahtera dalam agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.






