KIMANIS: Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Viva yang bertembung di Jalan Andus, Kimanis awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dikerahkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I KUP Nazir Chek Lah berkata, seramai tujuh anggota bersama dua jentera, CFRT dan VIGO, dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta bertembung, dengan seorang mangsa lelaki berusia 26 tahun tersepit di dalam kereta Perodua Viva.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 23 tahun yang menaiki Perodua Myvi pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Selepas memastikan tiada ancaman bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.51 pagi.
Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan susulan daripada pihak KKM. Punca kemalangan sedang disiasat pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan cermat, terutama pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.






