Kepuasan Pengguna Jadi Ukuran Mutu Perkhidmatan Sabah Electricity

Kepuasan Pengguna Jadi Ukuran Mutu Perkhidmatan Sabah Electricity

0
SHARE

KENINGAU: Kepuasan pengguna perlu menjadi ukuran utama mutu perkhidmatan Sabah Electricity (SE), khususnya dalam pengendalian aduan dan penyelesaian masalah bekalan elektrik secara cekap.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata Kajian Kepuasan Pelanggan yang dilaksanakan SE di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan penting bagi mengenal pasti kelemahan perkhidmatan serta memahami keperluan pengguna.

Menurutnya, kajian itu mencerminkan kesediaan SE mendengar suara pengguna, namun dapatan yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada tindakan penambahbaikan yang jelas dan boleh dinilai keberkesanannya.

“Kajian kepuasan pelanggan tidak seharusnya sekadar memenuhi keperluan pengumpulan data atau menghasilkan laporan di atas kertas, sebaliknya mesti membawa perubahan yang dapat dirasai pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan pasukan perunding kajian diketuai Dr. Beatrice Lim bersama Marry T. Pawan dan Kamarul Mizal, yang merupakan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan perunding kajian.

Dalam pertemuan itu, Yazid turut berkongsi pandangan, cadangan dan pengalaman berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik serta urusan pelanggan.

Katanya, hasil kajian perlu dijadikan asas untuk menambah baik pengendalian aduan, mempercepat maklum balas, memperjelas penyampaian maklumat serta meningkatkan kecekapan urusan permohonan dan penyambungan bekalan elektrik.

Yazid turut berharap kajian berkenaan dapat mengenal pasti jurang perkhidmatan antara bandar dan luar bandar, khususnya kawasan pedalaman yang berdepan cabaran akses serta komunikasi.

Menurutnya, pengguna juga perlu dimaklumkan mengenai tindakan susulan terhadap pandangan dan aduan yang dikemukakan.

“Pelanggan bukan sekadar pembayar bil, tetapi pihak berkepentingan yang berhak mendapat perkhidmatan berkualiti, layanan baik dan penyelesaian munasabah. Mereka mengharapkan jawapan jelas, tindakan pantas serta penyelesaian berkesan apabila berhadapan masalah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan mengutamakan suara rakyat itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan semangat ‘Sabah First’, yang menekankan kepentingan pengguna dalam perancangan serta penilaian prestasi perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau berharap SE memanfaatkan dapatan kajian untuk memperkukuh akauntabiliti, meningkatkan keyakinan masyarakat dan membina hubungan lebih baik dengan pengguna.

“Ukuran kejayaan kajian ini bukan sekadar jumlah responden atau laporan yang dihasilkan, tetapi sejauh mana dapatan itu membawa perubahan positif kepada pelanggan. Dengar suara pelanggan, fahami masalah mereka dan buktikan melalui tindakan,” katanya.

Keterangan gambar: Yazid (dua dari kiri) bersama Marry T. Pawan (kiri), Dr. Beatrice Lim (tiga dari kiri) dan Kamarul Mizal (kanan).