KOTA SAMARAHAN, SARAWAK – Dalam beberapa tahun lagi, impian rakyat Sarawak untuk mempunyai pengangkutan awam serba canggih akan dapat direalisasikan.
Fasa pertama projek pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) akan menyaksikan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada warga di sini dan di sekitarnya.
Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, projek pembinaan laluan ART yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri itu akan turut memenuhi matlamat negeri ke arah teknologi hijau.
Jelas Abang Johari, fasa satu KUTS bagi pembinaan ART yang menggunakan tenaga hidrogen itu akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Kuching serta Samarahan, dikategorikan sebagai Laluan Hijau, Merah dan Biru.
“Ini ialah fasa pertama iaitu dari stesen Rembus (di Samarahan) ke Hikmah Exchange (Kuching) iaitu Laluan Biru, manakala dari stesen Kuching Central ke Pending ialah Laluan Merah,” katanya dalam sidang media selepas perasmian fasa pertama projek KUTS di tapak pembinaannya, pada Jumaat baru-baru ini.
Menurut Abang Johari, Laluan Hijau pula bermula dari stesen Pending ke Damai Central.
Kontrak Sistem Pakej 1 bernilai RM1.425 bilion adalah untuk pembekalan kereta api, iaitu kenderaan ART berkuasa hidrogen, peralatan depot, kenderaan penyelenggaraan, sistem isyarat dan kawalan, serta gerbang platform automatik.





