RANAU: Kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Kampung Kemburongoh, di sini, menyebabkan laluan jalan raya tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima aduan orang awam melalui talian kecemasan MERS 999 sebelum mengarahkan anggota ke lokasi pada jam 4.25 pagi.
Katanya, pemeriksaan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba pada jam 5.15 pagi mendapati limpahan air dari kawasan bukit menyebabkan gelunsuran tanah berlaku secara beransur-ansur.
“Jalan buat masa ini tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah. Anggota bomba juga turut berada di lokasi bagi memantau keadaan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin turut menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap risiko banjir lumpur, tanah runtuh dan pokok tumbang susulan keadaan hujan berterusan.
Beliau berkata, orang ramai perlu segera melaporkan sebarang kejadian berbahaya di kawasan masing-masing bagi membolehkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan awal.
Katanya, IPD Ranau sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk daerah itu.






