G57 Desak PAC, SPRM Panggil Shafie Berhubung Penamatan PDP Pan Borneo

G57 Desak PAC, SPRM Panggil Shafie Berhubung Penamatan PDP Pan Borneo

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memberi penjelasan berhubung keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada 2019.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut diminta meneliti perkara itu mengikut bidang kuasanya, termasuk mendapatkan keterangan pihak berkaitan sekiranya terdapat asas untuk siasatan.

Katanya, keputusan menukar model PDP kepada kaedah konvensional ketika pentadbiran Shafie perlu diperjelaskan, khususnya mengenai kesannya terhadap pembiayaan, proses perolehan semula dan kelewatan pelaksanaan projek.

“Shafie perlu menjelaskan mengapa perubahan tersebut disokong, apakah penilaian risiko yang dibuat ketika itu serta langkah yang dirancang bagi memastikan jadual pembinaan dan pembiayaan projek tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan, Selasa.

Zulkarnain turut mempersoalkan alasan yang menjadikan hubungan politik individu dalam syarikat PDP sebagai asas utama penamatan model berkenaan, sambil menegaskan keputusan sepatutnya berdasarkan prestasi, pematuhan kontrak dan kelayakan teknikal.

Dalam pada itu, beliau menolak tafsiran bahawa perbelanjaan RM10.547 bilion hanya menghasilkan kemajuan 11.4 peratus projek Pan Borneo.

Menurutnya, angka 11.4 peratus itu merujuk kepada empat daripada 35 pakej kerja yang telah disiapkan dan diserah milik setakat Mac 2026, bukannya kemajuan fizikal keseluruhan projek.

Beliau turut menuntut penjelasan mengenai peningkatan kos projek yang dilaporkan daripada RM12.86 bilion kepada kira-kira RM24.89 bilion, termasuk perubahan skop, pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan kenaikan harga bahan binaan.

“Rakyat berhak mengetahui mengapa sasaran asal penyiapan pada tahun 2021 tidak dapat dicapai serta bagaimana keputusan pada setiap peringkat pentadbiran mempengaruhi jadual projek,” katanya.

Sehubungan itu, G57 turut menggesa PAC turun padang meninjau kemajuan sebenar pembinaan serta mendapatkan penjelasan kontraktor dan pengguna jalan raya bagi memastikan penelitian menyeluruh terhadap projek berkenaan.